JAGUH baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod kebangsaan miliknya buat kali ke-12 pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia semalam.
Jackie, 26, memadam rekod lama 65.90 meter (m) dilakukan sewaktu meraih pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, dengan catatan baharu 66.01m pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu.
Catatan tersebut membolehkan Jackie yang juga pemegang rekod Sukan SEA (65.90m), meraih pingat emas Terbuka Malaysia, menewaskan pemenang tempat kedua dari Kuwait, Al-Jawhar Mohammad.
Atlet dari Sarikei, Sarawak itu menjelaskan, perubahan corak dan intensiti latihan dilihat faktor utama kejayaannya itu sejak kegagalan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia bulan lalu.
“Sudah lama saya impikan jarak melebihi 66m dan sepatutnya dilakukan penghujung tahun lalu tetapi ia tidak menjadi. Ia membuatkan saya sedikit tertekan.
“Kali ini jurulatih (Gu Yuan) memberi nasihat supaya lebih tenang dan bersahaja apabila memasuki pertandingan. Mungkin faktor itu selain perubahan cara latihan memainkan peranan saya berjaya mengatasi jarak 66m.
“Saya langsung tidak jangka dapat membuat catatan sejauh ini. Saya gembira kerana ini adalah rekod kebangsaan yang ke-12 sejak kali pertama saya memecahkannya pada 2013,” katanya selepas aksi final semalam.
Pingat gangsa acara itu semalam dimenangi atlet Negeri Sembilan, Saidat Marzuqi Ajisan.
Jackie bakal menjalani latihan intensif selama 50 hari di Mannheim, Jerman sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan sekiranya mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kesatuan Olahraga Malaysia.











