KUALA LUMPUR 13 Mei – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta rakyat negara ini tidak gusar dan curiga mengenai niat kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang melakukan pembaharuan bagi membersih dan mengurangkan masalah ekonomi negara.
Perdana Menteri berkata, gerakan antirasuah dalam kerajaan akan digerakkan untuk memastikan menteri yang dilantik tidak terlibat dengan perbuatan tersebut.
“Pertama kita telah kutip derma banyak wang bagi pembiayaan PRU-14 lalu dan apabila kita menang, segala sumbangan tidak boleh diterima mana-mana pihak dan parti melainkan diketahui dan diizinkan Kabinet.
“Kita tidak perlukan kepada wang dan kadang-kadang orang ramai ingin beri hadiah. Hadiah yang boleh diberikan kepada anggota kerajaan adalah seperti bunga dan makanan tetapi bukan barangan bernilai. Ini kita nak tentukan dari awal supaya tidak ada unsur rasuah dalam kerajaan,” katanya dalam sesi penerangan kepada RTM dan Bernama di kediamannya di Seri Kembangan di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak akan menyekat kebebasan perniagaan dengan terlalu banyak undang-undang yang akan membebankan pemain industri negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan lebih berminat untuk melihat lebih ramai pihak dapat menjalankan perniagaan dengan lebih bebas dan mudah tanpa terlalu banyak sekatan undang-undang.
“Kita mengalu-alukan pelaburan sama ada dari dalam atau luar termasuk FDI (Pelaburan Langsung Asing). (Namun) FDI terhad kepada membawa masuk modal dan teknologi ke dalam negara, mendirikan kilang, mengeluarkan produk untuk pasaran tempatan dan untuk dieksport.
“Kita dapati, rakyat Malaysia cekap dalam pembangunan dan mampu membina bandar kita sendiri. Keperluan rakyat akan kita tentukan dan semua peluang ini akan kita buka kepada syarikat tempatan,” katanya.
Dr. Mahathir berkata, kerajaan hanya akan membuka peluang ini kepada syarikat asing jika tiada kepakaran anak tempatan dalam sesuatu bidang tertentu atau projek infrastruktur mega sahaja namun ia akan dijalankan melalui tender terbuka.
“Jika tender terbuka ini ada melibatkan keraguan atau ganjil, kita tidak teragak-agak untuk menyiasat,” tambahnya.
Dr Mahathir berkata kerajaan yang baharu juga akan membuat kajian prestasi ekonomi termasuk jumlah hutang sebenar negara dan pengeluaran wang negara. – BERNAMA











