Pelantikan menteri kanan tidak ketepikan parti - Utusan Malaysia

Pelantikan menteri kanan tidak ketepikan parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pelantikan tiga menteri kanan Kabinet semalam dibuat tanpa mengetepikan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata, selain keputusan dibuat melalui Majlis Kepimpinan Tertinggi PH yang membincangkan dasar-dasarnya, ia juga dilakukan mela­lui Jawatankuasa Lima Pemimpin Tertinggi yang dianggotai empat presiden parti komponen serta dipengerusikan beliau sendiri.

Beliau berkata, ini kerana Maj­lis Kepimpinan Tertinggi sukar untuk membuat perjumpaan dengan kerap atau segera dalam memutuskan sesuatu perkara.

“Inilah cara yang kita lakukan apabila menubuhkan satu badan ataupun dalam saya menamakan menteri-menteri asas.

“Semua lima orang tahu apa yang diputuskan dan menjadi tanggungjawab mereka jika mereka perlu laporkan kepada ahli (parti) masing-masing, jika tidak, kita akan sahkan keputusan-keputusan ini dalam Maj­lis Presiden. Majlis Presiden dianggap sebagai Majlis yang ter­tinggi,” katanya dalam sesi pene­rangan khas kepada RTM dan Bernama di kediaman beliau di sini hari ini.

Semalam, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi parti PPBM, PAN dan DAP sebagai menteri kanan Kabinet dibuat tanpa rundingan dengan PKR.

Dr. Mahathir semalam menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presi­den PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, untuk membolehkan keputusan dibuat, pihaknya berpegang kepada prinsip ‘majoriti yang memerintah’ kerana tidak selalunya akan beroleh konsensus.

“Jadi dengan ada majoriti yang memerintah, maka kita dapat buat keputusan dengan lebih kemas dan lebih cekap dan lebih cepat. Itulah susunan Pakatan Harapan sehingga kini,” katanya.

Katanya, kerajaan sekarang memerlukan sebuah Kabinet dibentuk secepat mungkin.

“Untuk menubuh Kabinet penuh akan mengambil masa kerana masing-masing parti perlu merujuk kepada parti masing-masing untuk memberi nama dan supaya ditentukan jawatan yang akan dipegang,“ tambahnya. – BERNAMA
 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×