Taman Tasik Titiwangsa ditutup - Utusan Malaysia

Taman Tasik Titiwangsa ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sebahagian Taman Tasik Titiwangsa kepada orang awam secara berperingkat mulai esok sehingga penghujung tahun 2019.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Fadzilah Abd. Rashid berkata, penutupan ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek River of Life (RoL) yang melibatkan kerja-kerja naik taraf fasiliti serta kemudahan taman.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf perlu dilakukan demi kemudahan dan keselesaan pengunjung pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fasa pertama akan bermula pada hari esok dan dijangka siap pada penghujung tahun ini di mana sebahagian taman akan ditutup bagi kerja-kerja naik taraf.

“Bagaimanapun lain-lain kawasan termasuk Fasa 2 masih lagi dibuka kepada kunjungan orang awam.

“Fasa 2 dijangka akan bermula pada bulan Januari 2019 dan siap sepenuhnya pada November tahun sama,” katanya dalam ke­nyataan akhbar di sini.

Sehubungan itu katanya, ramai dinasihatkan berhati-hati serta menjaga keselamatan sepanjang tempoh kerja-kerja naik taraf berlangsung.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati warga kota terus memanfaat cuti hujung minggu terakhir membawa keluarga ke taman tasik berkenaan.

Seorang pengunjung, Diana Mohd. Rafee, 27, berkata, setiap hujung minggu tasik berkenaan menjadi pilihannya untuk beriadah bersama rakan-rakan.

“Arahan penutupan itu tidak menjejaskan aktiviti kami kerana hanya melibatkan sebahagian sahaja,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Safian Hamid, 45, berkata, dia tetap akan mengunjungi tasik ber­kenaan memandangkan lokasi itu menjadi tempat mereka sekeluar­ga beriadah.

“Kerja-kerja naik taraf hanya melibatkan kawasan tertentu dan kawasan lain masih dibuka kepada orang awam,” katanya yang tinggal di Setiawangsa itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×