Hubungan Johor-Singapura terus diperkukuh – Muhyiddin - Utusan Malaysia

Hubungan Johor-Singapura terus diperkukuh – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 13 Mei – Hubungan Johor dan Singapura akan diperkukuh­kan lagi sekali gus melihat ne­geri ini bukan sahaja menjadi pelengkap kepada negara itu tetapi turut bersaing secara sihat.

Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat sudah memilih pihak mana untuk mentadbir Johor dan kini perlu melihat semua aspek melangkaui sempadan serta mempu­nyai hubu­ngan baik dengan negara jiran.

“Singapura sentiasa menjadi rakan negara jiran yang istimewa bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga Johor, kita juga mempunyai hubungan yang baik sehingga kini. Jadi, saya rasa kita akan memperkukuhkan hubungan sedia ada.

“Negara jiran itu merupakan pusat dagangan dan kewangan dan kita juga sudah mempu­nyai hubungan dalam perkara itu dengan mereka sejak sekian lama,” katanya dalam sidang akhbar di Senai, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub dan Setiausaha PPBM negeri, Datuk Osman Sapian.

Muhyiddin berkata, atas se­bab itu, beliau mahu Johor bukan sahaja menjadi pelengkap kepada Singapura tetapi turut mengambil peluang sekali gus mencari jalan untuk meningkatkan paras pembangunan yang dapat dimanfaatkan rakyat.

Dalam pada itu, ditanya adakah kerajaan negeri baharu akan mengkaji semula pelbagai projek mega yang dibangunkan di negeri ini termasuk Forest City, beliau berkata, pimpinan baharu akan melihat perkara tersebut.

“Saya pasti pimpinan kerajaan negeri yang baharu akan melihat dan membuat keputusan berhubung pembangunan projek mega itu dan saya percaya jika ia memberi manfaat kepada pertumbuhan negeri kita akan teruskan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×