BUKIT MERTAJAM – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar meminta agar bekas ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menerima keputusan secara positif akan pelantikan tiga anggota kanan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mahu melihat rakyat optimis terhadap pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baharu.
“Apa yang diperlukan ketika ini adalah fokus kepada rakyat menerusi kerjasama baik dalam pentadbiran.
“Sebagai kawan baik, saya begitu menghargai sumbangan yang diberikannya (Rafizi) kepada parti dan negara.
“Jadi saya minta, demi perjuangan sahabat sejati, marilah kita lakukannya secara positif dan mengatasi apa sahaja yang berlaku untuk melalui fasa baharu pembentukan kerajaan di bawah PH,” katanya kepada pemberita selepas majlis kenduri kesyukuran sempena kemenangan rakyat Permatang Pauh di sini hari ini.
Nurul Izzah diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi, juga naib presiden PKR, yang mendakwa pelantikan pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan AMANAH sebagai menteri kanan yang dibuat Dr. Mahathir adalah tanpa perbincangan dan rundingan dengan PKR. – Bernama









