SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor petang esok.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan berkata, istiadat perlantikan dan angkat sumpah Exco akan diadakan di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pukul 2 petang.
Katanya, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin telah menghadap Sultan Sharafuddin hari ini untuk menyembah maklum senarai nama Exco di bawah pentadbiran baharu beliau.
Difahamkan, Mohamed Azmin telah menghadap Sultan Sharafuddin pukul 11 pagi tadi di Istana Bukit Kayangan.
“Sultan Sharafuddin telah memberi perkenan untuk melantik Exco tersebut setelah meneliti dan melakukan saringan terperinci.
“Senarai lengkap Exco itu akan diedarkan selepas istiadat perlantikan dan angkat sumpah jawatan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan memenangi 51 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding Barisan Nasional (4) dan Pas (1). – K! ONLINE











