KUALA LUMPUR – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh, Selangor pada Selasa ini.
Dakwaan tersebut disahkan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua pada sidang akhbar di Hospital Rehabilitasi Cheras di sini semalam.
Anwar ketika ini sedang menjalani rawatan bahu kanan di hospital itu.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V perkenan memberi pengampunan diraja kepada Anwar yang sedang menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.
Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Anwar didapati bersalah meliwat Mohd. Saiful tanpa kerelaan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.










