KUALA LUMPUR 12 Mei – Pengumuman Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri diharap dapat menunjukkan kekuatan dan pengaruh dalam mentadbir negara sejajar merealisasikan pencapaian wanita negara ini di peringkat paling tinggi.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. P. Sivamurugan berkata, Wan Azizah kini berpeluang untuk menunjukkan kemampuan yang dimilikinya dalam menjadi pemimpin nombor dua negara.
“Sudah tiba masanya kita memiliki pemimpin wanita di peringat tertinggi dan seiring dengan usaha melihat 30 peratus wanita memegang jawatan tertinggi di semua peringkat. Kita sudah lama melihat perkara ini di peringat global.
“Wan Azizah dilihat mempunyai kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin nombor dua negara kerana beliau sudah lama keluar dari bayang-bayang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat PKR) dalam hal berkaitan politik apabila beliau menjawat jawatan Presiden PKR, ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam.
Sivamurugan percaya Wan Azizah sudah menimba banyak pengalaman dan mempunyai kredibiliti dan kemampuan sendiri yang akan membantunya dalam menjalankan tanggungjawabnya nanti.
Beliau juga melahirkan harapan Presiden PKR itu tidak akan melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada suaminya selepas Anwar menerima pengampunan nanti.
“Situasi ini masih awal untuk dibuat spekulasi tetapi menjadi harapan beliau akan kekal memegang jawatan itu.
Pencapaian Wan Azizah adalah satu pencapaian tertinggi dicapai oleh seorang wanita di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, Wan Azizah kini diberi peluang untuk bukti keupayaan dirinya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ini adalah peluang untuk seorang pemimpin yang menjadi wanita pertama memegang jawatan paling tinggi dalam negara setakat ini,” katanya.










