Nisa Bakri promosi masakan Malaysia ke UK - Utusan Malaysia

Nisa Bakri promosi masakan Malaysia ke UK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Mei – Tiada kejayaan tanpa ke­sungguhan. Itu rumusan bagi menggambarkan ke­sungguhan Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid dalam usaha beliau mempromosikan masakan Malaysia ke persada antarabangsa.

Shariffa Nisa yang lebih dikenali sebagai Nisa Bakri berkata, pencapaian mengagumkan beliau dalam bidang masakan menjadi tunjang kekuatan untuk memajukan lagi bidang tersebut dengan mengetengahkan menu masakan terbaharu di London, United Kingdom (UK).

Katanya, tiga menu masakan Malaysia yang diciptanya sebagai sentuhan pertama untuk dirasai masyarakat UK iaitu Ayam Masala, Ayam Lemak Betutu dan Kari Sayuran.

“Penampilan ini bertujuan ‘menjual’ nama negara di pe­ringkat global menerusi masakan berkonsepkan kesihatan, selain keinginan untuk bersaing dengan menu dari negara luar, antaranya Pakistan dan China.

“Saya menggunakan platform pasaran arus perdana (mainstream market) iaitu televisyen, laman sesawang dan video untuk mempromosikan usaha tersebut dan setakat ini alhamdulillah, di­terima baik oleh mereka,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut isteri kepada bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin itu, kesungguhannya dalam me­nyempurnakan misi tersebut berbaloi apabila beliau bakal dijemput untuk bersiaran ke udara menerusi saluran televisyen dan dalam talian di UK tidak lama lagi.

“Lebih membanggakan apabila saya juga berpeluang memenuhi slot jemputan program masakan bersempena Program Minggu Fesyen London pada September tahun ini.

Nisa yang juga penulis buku masakan, I am not a chef dan pernah muncul beberapa kali di kaca te­levisyen tempatan memberitahu, kejayaan itu tidak akan mungkin dicapai tanpa kajian mendalam selama dua bulan terlebih dahulu mengenai menu masakan tersebut.

“Saya berharap sasaran me­nembusi pasaran antarabangsa ini membuahkan hasil memberangsangkan selaras dengan iltizam untuk menaikkan imej negara dan mengembangkan bidang perniagaan melalui produk Nisa Bakri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×