Piramid konkrit cara terbaik selesai hutang pengguna? - Utusan Malaysia

Piramid konkrit cara terbaik selesai hutang pengguna?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW 12 Mei – Gara-gara mengabaikan pemberitahuan pembayaran bertulis, seorang lelaki terpaksa menanggung malu apabila sebuah syarikat utiliti di Rusia muncul dengan cara bijak bagi memaksanya melangsaikan hutang dengan meletakkan sebuah piramid konkrit seberat tiga tan di halaman vila mewahnya.

OddityCentral melaporkan, Samara Utility Systems Ltd. telah lama cuba mendapatkan individu tersebut di Kampung Zubchaninovka di wilayah Samara, Rusia untuk membayar hutangnya iaitu bil air sebanyak AS$810 (RM3,199).

Selain menghantar beberapa pemberitahuan bertulis, syarikat itu turut menghubunginya melalui telefon dan menghantar wakil untuk bersemuka dengannya, namun gagal.

Akhirnya, syarikat berkenaan me­ngambil keputusan untuk menggunakan satu cara baharu iaitu meletakkan sebuah konkrit piramid seberat tiga tan, setinggi 1.5 meter dan turut menampal slogan yang memalukan di halaman rumahnya sebagai satu peringatan supaya melunaskan hutang tersebut.

‘Peringatan berat’ itu mempunyai slogan ‘Seorang Penghutang Tinggal Di Sini’ dan ‘Sila Bayar Bil Air Anda’ di keempat-empat sisi piramid itu.

Apabila melihat piramid tersebut di halaman rumahnya, pemilik rumah berkenaan cuba berunding dengan pekerja syarikat tersebut dengan memaklumkan bahawa bekalan air di rumahnya sudah lama dipotong tetapi dia tetap masih menerima bil yang dianggap tidak adil.

Bagaimanapun, menerusi satu siaran akhbar Samara Utility System, syarikat itu menyatakan bahawa para pekerja telah memeriksa rangkaian bekalan air dan mendapati rumah tersebut masih menerima sambungan bekalan air.

Akhirnya, selepas melihat para media dan jiran yang kelihatan ingin tahu berkumpul di sekeli­ling piramid selain mengambil gambar di halaman rumahnya, lelaki berkenaan dilaporkan meluahkan hasrat untuk melangsaikan hutang tersebut bagi memastikan ‘peringatan berat’ itu dialihkan.

Seorang jurucakap syarikat utiliti itu berkata bahawa mereka akan mengalihkan piramid hutang itu sejurus selepas lelaki berkenaan melangsaikan hutangnya, sambil menambah mereka berpuas hati dengan eksperimen itu dan bercadang untuk turut meletakkan piramid di rumah penghutang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×