KUALA LUMPUR – Jaguh pecut 110 meter (m) berpagar Asia Tenggara, Rayzam Shah Wan Sofian muncul pemenang pingat emas acara itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Sabah berusia 30 tahun itu yang menyasarkan larian di bawah 14 saat (s) dalam acara akhir tersebut mengakui hampir menarik diri di saat akhir.
Rayzam mencatat kepantasan 14.12s untuk menewaskan atlet Kuwait, Al Youha Yaqoub yang meraih perak dengan catatan 14.17s sementara gangsa menjadi milik pelari Filipina, Clinton Kingsley Bautista dengan masa 14.27s.
“Sasaran saya adalah di bawah 14 saat tapi disebabkan acara ditunda terlalu lama sehingga lebih satu jam setengah, fokus dan semangat untuk berlari pun hilang.
“Disebabkan itu juga saya mengalami kekejangan otot selepas dua kali melakukan regangan untuk memastikan tubuh saya berada dalam keadaan sedia. Saya memang rasa nak tarik diri tetapi jurulatih menyuruh saya teruskan juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat acara itu. – Bernama










