KUALA LUMPUR 12 Mei – Kerajaan akan menyiasat syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) secara menyeluruh termasuk menghubungi pihak berkaitan di negara-negara terlibat seperti Switzerland dan Singapura untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai skandal syarikat tersebut.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu, beliau turut mengarahkan Jabatan Imigresen untuk menghalang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya daripada ke luar negara bagi membantu siasatan skandal 1MDB serta salah laku lain bekas Perdana Menteri itu sewaktu mentadbir negara.
“Kami mempunyai bukti yang kukuh untuk menyiasat skandal 1MDB dan jika Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah, beliau akan didakwa mengikut undang-undang ,” katanya dalam sidang akhbar di Yayasan Selangor, Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan juga akan meneliti semula laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan mempertimbang sama ada akan ditarik balik daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Saya telah mengarahkan pihak polis untuk menarik balik sekatan terhadap laporan PAC dan menyerahkannya kepada kami untuk diteliti sebelum boleh didedahkan kepada umum,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










