IPOH 12 Mei – Pakatan Harapan Perak mengumumkan telah memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan negeri Perak dengan majoriti 31 kerusi setelah mendapat sokongan dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Pakatan Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu telah dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta di sini hari ini.
Menurutnya, Sultan Nazrin berpuas hati dengan jumlah 31 wakil rakyat yang dikemukakan untuk Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan negeri.
“Pakatan Harapan telah mendapat sokongan daripada dua ADUN BN menjadikan jumlah kerusi kepada 31 kerusi.
“Nama dua wakil rakyat BN tersebut tidak perlu saya sebutkan, tuan-tuan lebih tahu dan saya jangkakan jumlahnya akan bertambah (ADUN BN sokong Pakatan Harapan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini Pakatan Harapan masih menunggu jemputan daripada pihak istana untuk majlis angkat sumpah.
“Kita akan menurut jemputan istana, buat masa ini kami masih menunggu,” katanya.
Mengenai calon Menteri Besar, Ahmad Faizal berkata, sudah tentu cadangan tersebut akan datang dari Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Saya tidak pasti berapa nama (calon MB) yang dicadangkan, saya serah kepada semua pengerusi parti-parti dalam Pakatan Harapan untuk menentukannya,” katanya.
Mengenai soalan kemungkinan beliau akan dipilih sebagai Menteri Besar, Ahmad Faizal berkata, beliau tidak menolak apa-apa kemungkinan.
“Kami akan menubuhkan kerajaan yang mantap dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










