Penyatuan bangsa dalam Kabinet 1955 - Utusan Malaysia

Penyatuan bangsa dalam Kabinet 1955

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN Parti Perikatan iaitu gabungan antara UMNO dan MCA yang berbeza kaum pada Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 telah melakar satu sejarah paling bermakna di Tanah Melayu.

RISALAH yang diedarkan pada kempen pilihan raya tahun 1955.
RISALAH yang diedarkan pada kempen pilihan raya tahun 1955.

Ia disifatkan satu simbol penyatuan kaum yang tercapai atas dasar persefahaman dan tolak ansur selepas mengharungi beberapa konflik meruncing seperti darurat dan penubuhan Malayan Union sebelum itu.

Kejayaan Perikatan juga merupakan satu petanda bahawa strategi permuafakatan antara kaum di negara ini telah disokong sepenuhnya penduduk Tanah Melayu.

Pada April 1953, Persidangan UMNO dianjurkan di Melaka dan satu resolusi telah diputuskan mengenai tuntutan mengadakan Pilihan Raya Persekutuan pada tahun berikutnya. Ketetapan itu turut dipersetujui dalam Konvensyen Kebangsaan yang dianjurkan Parti Perikatan pada 23 Ogos 1953.

Konsep penggabungan ideal antara UMNO-MCA seterusnya menarik MIC untuk bekerjasama dengan Perikatan. MIC pada asalnya merupakan sebuah parti minoriti India yang ditubuhkan pada Ogos 1946 oleh John A. Thivy dan Janaky Athi Nahappan.

Sesungguhnya, gabungan Melayu-Cina-India yang merupakan tiga kaum yang dominan dalam satu parti ketika itu dianggap satu percubaan paling berani yang dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock and Tun Sambanthan.

Majlis Kerja Kebangsaan yang dianggotai 30 ahli kemudian telah dibentuk bagi membincangkan langkah terbaik untuk mendapatkan persetujuan British untuk mengadakan Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan yang pertama di Tanah Melayu. Manifesto paling mustahak parti itu ialah untuk mencapai kemerdekaan sekali gus memiliki kerajaan sendiri.

Pihak British telah memperuntukkan 100 kerusi bagi Majlis Perundangan Persekutuan iaitu 52 kerusi dipilih melalui pilihan raya dan 48 ahli majlis dilantik oleh Pesuruhjaya British.

Pada 27 Julai 1955, pilihan raya diadakan dan setiap parti telah mengadakan kempen pada 15 Julai 1955. Parti-parti yang terlibat ialah Parti Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) yang melaungkan moto Menuju Ke Arah Kemerdekaan, Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar, Parti Islam Se-Malaya (Pas), Liga Melayu Perak, Parti Buruh, Parti Rakyat Progresif dan Bebas.

Meskipun menerima saingan terutamanya daripada Parti Negara, kemenangan berpihak kepada Perikatan apabila memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan. Kejayaan besar itu sekali gus memberi mandat kepada Perikatan untuk membentuk kerajaan.

Kabinet

Pada 1 Ogos 1955, Kabinet Persekutuan Tanah Melayu 1955 dibentuk. Ia merupakan jemaah menteri pertama Persekutuan Tanah Melayu ketika British masih lagi menjajah tanah tumpah darah kita.

Pembentukan Kabinet penting bagi tanah air kerana ia merupakan badan yang diberikan kuasa untuk menentukan dasar dan arah pentadbiran negara. Selain menggubal dasar kerajaan, Kabinet berperanan memperinci dasar-dasar umum yang dijanjikan kepada rakyat, membentuk dasar koordinasi yang bertujuan untuk membina kerajaan yang cekap dan efektif termasuk menangani sebarang masalah kecemasan yang melibatkan negara dan rakyat.

Pengumuman rasmi pembentukan anggota Kabinet pertama di Tanah Melayu itu telah dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray pada 4 Ogos 1955 di King’s House selepas mendapat perkenan Raja-raja Melayu.

Barisan Kabinet pertama terdiri daripada 10 orang menteri, dua orang timbalan menteri dan tiga orang penolong menteri. Ia dibarisi enam wakil Melayu, tiga wakil Cina dan dua wakil India.

Kata sepakat dicapai apabila Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri (Perdana Menteri). Portfolio-portfolio lain yang diwujudkan ialah Menteri Dalam Negeri, Menteri Pelajaran, Menteri Sumber Asli, Menteri Pengangkutan, Menteri Pertanian dan Perikanan, Menteri Kesihatan, Menteri Kerja Raya, Menteri Buruh, Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar serta Menteri Pos dan Telekomunikasi.

Menteri-menteri itu dibantu oleh lima timbalan menteri dan menteri muda iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Timbalan Menteri Pelajaran, Menteri Muda Pertanian, Menteri Muda Kesihatan dan Menteri Muda Buruh.

Selain itu, Kabinet tahun 1955 turut dianggotai tiga pegawai British yang memegang jawatan penting sebagai Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kerajaan. Sementara, Tun Dr. Ismail dilantik sebagai wakil negara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Majlis angkat sumpah telah diadakan pada 9 Ogos 1955 dengan disaksikan oleh Ketua Hakim Mr. Pretheroe.

Tambahan

Pembentukan Kabinet Pertama Persekutuan Tanah Melayu sesungguhnya telah menjadi asas kepada pembentukan berkerajaan sendiri. Susulan itu juga, Sistem Ahli yang diperkenalkan oleh British dalam memberi latihan kepada elit-elit tempatan mentadbir negara dimansuhkan serta-merta.

Merentas masa dalam sejarah pengisian 61 tahun kemerdekaan negara, pelbagai kementerian baharu telah diwujudkan bagi memberi penyelesaian secara fokus dalam membentuk polisi dan hala tuju pentadbiran kerajaan.

Jumlah anggota Kabinet juga berubah mengikut perubahan pentadbiran dan keperluan semasa dengan anggota Kabinet paling ramai mencecah 37 orang termasuk yang berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2015.

Penyatuan bangsa dalam Kabinet 1955

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×