MB Johor, Pahang, Negeri Sembilan diumum hari ini - Utusan Malaysia

MB Johor, Pahang, Negeri Sembilan diumum hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI 11 Mei – Pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu adalah berdasarkan calon dengan kelayakan dalam bidang pendidikan dan pengalaman politik termasuk dalam pentadbiran.

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelayakan tersebut penting kerana jawatan itu merupakan satu tugas yang sangat mencabar.

“Pemilihan ini (jawatan Menteri Besar) adalah keputusan konsensus dalam Pakatan Harapan dan dilakukan mengikut tradisi negeri Johor berdasarkan Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895,” katanya dalam sidang akhbar di Senai di sini hari ini.

Beliau menghadap Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi di sini pagi ini untuk memohon perkenan baginda menubuhkan kerajaan baharu Johor serta menyerahkan tiga nama untuk jawatan Menteri Besar.

Sebanyak tiga na­ma dicadangkan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Salahudin Ayub, ADUN Kempas, Osman Sapian dan ADUN Parit Yani, Aminolhuda Hassan.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam Facebook rasminya hari ini bertitah, baginda akan me­ngumumkan nama Menteri Besar yang baharu esok dan difahamkan istiadat mengangkat sumpah akan dilakukan di sini pada pukul 3 petang.

Ketika ditanya mengenai namanya yang tidak dimasukkan sebagai seorang daripada calon Menteri Besar, Muhyiddin berkata, beliau mahu memberi ruang kepada pemim­pin muda untuk menjadi Menteri Be­sar sekali gus me­nerajui kerajaan negeri yang baharu.

Sementara itu, di Kuantan, Maj­lis Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dijadualkan berlangsung di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan, esok.

Surat jemputan mengenai majlis pada pukul 9.30 pagi itu diedarkan namun tidak memaklumkan siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar.

Meskipun demikian, sumber memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Adnan Yaakob kekal sebagai Menteri Besar.

Di Seremban, istiadat penyerahan watikah pelantikan dan me­ngangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu akan diadakan pada pukul 9.30 pagi di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, esok.

Pakatan Harapan menang de­ngan majoriti mudah di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

Kedua-dua istiadat tersebut akan disempurnakan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuan­ku Munawir.

Antara calon yang disebut-sebut memegang jawatan berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, Aminuddin Harun.

Dalam PRU-14, Pakatan Harapan memperoleh 20 daripada 36 kerusi DUN manakala baki 16 kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN).

Aminuddin, 51, dalam satu kenyataan semalam berkata, surat watikah daripada Pengerusi Pakatan Harapan berhubung pencalonan beliau telah dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×