PULAU PINANG 11 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini mendesak agar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak segera meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada pemimpin muda lain yang lebih disayangi rakyat.
![]() |
|
RAFIZAL ABD. RAHIM
|
Ketuanya, Rafizal Abd. Rahim berkata, desakan itu bagaimanapun bukanlah dibuat sebagai alasan di atas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Rabu lalu.
Sebaliknya, beliau mendakwa, Najib adalah penyebab utama kekalahan tersebut sama ada di peringkat Pusat atau di peringkat negeri.
“Beliau (Najib) perlu menghayati apa yang beliau selalu sebut iaitu ‘saya berjiwa besar’ dan segera menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi UMNO kepada orang yang lebih layak daripada beliau sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ujar Rafizal, UMNO kini perlu melalui satu proses ‘reformasi dalaman’ serta penjenamaan semula agar parti itu kembali relevan pada PRU-15 nanti.
Tambahan pula katanya, semakin ramai generasi muda akan menjadi ‘first time voters’ atau pengundi kali pertama pada PRU berkenaan.
“Maka, dengan penuh rasa rendah diri, kami (Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang) ingin meminta agar transisi jawatan Presiden dalam UMNO disegerakan dan diberikan kepada pemimpin yang lebih muda dan popular dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE









