KUALA LUMPUR 11 Mei – Umum mengetahui, dua orang penyanyi popular, Taylor Swift dan Katy Perry sudah lama bermusuhan. Mereka kerap menyindir antara satu sama lain dalam media sosial.
Namun, beberapa hari lalu mereka dikatakan seperti sudah berdamai. Ia berpunca daripada video yang dimuat naik oleh Swift menerusi Instagram Stories miliknya. Video tersebut memaparkan hadiah pemberian Perry berupa hiasan kepala yang diperbuat daripada daun-daun pokok zaitun.
Hadiah tersebut turut diselitkan dengan sepucuk surat yang diletakkan di dalam sampul berwarna putih. Surat yang mengandungi luahan rasa rindu dan permohonan maaf itu ditulis sendiri oleh penyanyi lagu Roar ini.
Menerusi surat tersebut juga, Perry mendoakan agar siri konsert jelajah Swift iaitu Reputation Tour berjalan dengan lancar.
Melalui video itu, Swift mengucapkan terima kasih kepada Perry dan meletakkan simbol hati. Hal ini sekaligus membuktikan hubungan mereka sudah pulih dan kini kembali berkawan. – UTUSAN ONLINE










