MELAKA 10 Mei – Kerajaan Pakatan Harapan Melaka dijangka mengumumkan nama ketua menteri baharu esok sebagai usaha melengkapkan proses pembentukan kerajaan negeri di bawah pimpinan gabungan tersebut.
Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Adly Zahari berkata, perbincangan serta pemilihan calon-calon Ketua Menteri yang bakal diketengahkan pihaknya sedang dilaksanakan dan akan diputuskan hari ini.
“Setiap parti di negeri ini akan mengemukakan calon masing-masing dan ia akan dimuktamadkan hari ini sebelum upacara mengangkat sumpah yang kita rancang diadakan esok.
“Selain itu, kita juga sedang membincangkan pembahagian portfolio Exco kerajaan negeri yang akan dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya dalam sidang akhbar khas Pakatan Harapan Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR negeri, Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Timbalan Ketua PPBM Melaka, Mohd. Rafiq Naizamohideen; Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Norhizam Hassan Baktee dan Ketua Wanita PKR negeri, Ginie Lim Siew Lin.
Adly berkata, beliau bersama kepemimpinan Pakatan Harapan Melaka berharap proses pembentukan kerajaan negeri baharu itu berjalan dengan aman serta memenuhi tuntutan mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Melaka.
“Selain Ketua Menteri serta barisan Exco dan Timbalan Exco kerajaan negeri, Pakatann Harapan akan turut menamakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu dalam masa terdekat,” ujarnya.
Sementara itu tambah beliau yang memenangi kerusi DUN Bukit Katil, kerajaan negeri di bawah gabungan PKR akan melaksanakan 20 janji yang terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan dalam tempoh lima tahun memerintah negeri ini.
“Semua 20 janji itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri ini,” ujarnya.











