KUALA LUMPUR 9 Mei – Datuk Zafarul Akbar Kassim menyifatkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) kini sudah carca marba dan berharap ahli gabungan badan induk itu dapat membuat keputusan tepat dalam memilih pemimpin apabila Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berlangsung pada Sabtu ini agar organisasi tersebut kembali gemilang.
Semalam, Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng memberitahu dia sedia untuk melepaskan jawatan dalam pemilihan AGM badan induk itu pada Sabtu ini sekiranya ada calon sesuai bagi menggantikannya namun tidak menafikan ada ahli gabungan meminta agar beliau mengekalkan jawatan No.1 tersebut.
Zafarul mengakui amat sedih dengan keadaan persatuan tersebut yang didakwanya dipimpin oleh mereka yang tidak tahu melaksanakan tugasan dengan baik.
“Baru-baru ini ada media yang memberitahu saya bahawa pihak PABM tidak memberikan kerjasama baik kepada pemberita berhubung AGM pada Sabtu ini terutama berkaitan nama-nama calon bertanding.
“Ini sesuatu yang tidak profesional kerana selaku badan induk mereka harus menyalurkan maklumat kepada media untuk pengetahuan umum.Mengapa harus berahsia.
“Bukan itu sahaja difahamkan badan induk itu juga tidak menjalankan fungsinya dengan baik malah ada beberapa kejohanan dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara bukan hasil kerja mereka sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bekas Presiden PABM itu kebelakangan ini menjadi pengkritik kuat PABM ini yang semakin tertekan dengan isu doping yang berulang. Terbaharu melibatkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel dalam kelas 85kg, Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.
Dalam pada itu, Zafarul turut mempertikaikan kenyataan pemangku Setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail yang mempersoalkan kewajaran kesalahan pengambilan bahan larangan oleh atlet diletakkan kepada kepimpinan PABM.
“Kenyataan tersebut seperti ingin melepaskan tangan dan apa bukti mereka menjalin kerja sama baik dengan Adamas?
“Ada beberapa atlet angkat berat memberitahu saya bahawa tiada sebarang kursus khas untuk atlet dianjurkan PABM sendiri untuk meningkatkan kesedaran berhubung isu doping, tetapi mereka mendakwa telah menjalin kerjasama baik dengan Adamas.
“Kenyataan sebegini membuktikan mereka ini hanya mahu memegang jawatan dalam PABM tetapi tidak mahu melaksanakan tugas dengan sewajarnya, perwakilan harus sedar tentang perkara ini dan sila buat pilihan tepat pada Sabtu ini,” katanya.










