PUTRAJAYA 10 Mei – Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penyokong PKR kerana mencetuskan provokasi di Dataran Putrajaya, di sini awal pagi ini.
Para penyokong tersebut berkumpul sejak pukul 12 tengah malam bagi meraikan kemenangan PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk berarak ke Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra.
Terdahulu FRU melepaskan meriam air bagi menyuraikan ratusan penyokong yang enggan berganjak walaupun diarahkan beredar.
Lebih 100 orang petugas media dari pelbagai agensi dinasihatkan agar tidak meninggalkan bangunan ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan memberitahu sebarang maklumat mengenai soal keselamatan di Putrajaya akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim. – UTUSAN ONLINE










