Tiga pusat mengundi di Perak alami gangguan elektrik - Utusan Malaysia

Tiga pusat mengundi di Perak alami gangguan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 9 Mei – Tiga buah pusat mengundi masing-masing di Bagan Serai, Larut dan Bukit Gantang mengalami masalah gangguan bekalan elektrik ekoran hujan lebat dan petir kira-kira pukul 2 petang tadi.

Pengarah Pilihan Raya Perak, Mohd. Nazri Ismail berkata, masalah itu bagaimanapun tidak menjejaskan proses pengundian di tiga lokasi itu dan telah diatasi segera oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

“TNB bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat dan mendapati masalah itu bukan disebabkan oleh elektrik terputus sebaliknya kerana ELCB (earth leakage circuit breaker),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nazri, sehingga pukul 2 petang ini, sebanyak 61.45 peratus daripada 1.47 juta pengundi berdaftar di negeri ini telah menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Katanya, proses pengundian pada hari ini berjalan lancar namun terdapat sesetengah tempat mengalami kesesakan berikutan pengundi tidak membuat semakan awal melalui atas talian.

“Di Perak buat masa ini tidak berlaku lagi kes kecemasan namun terdapat kes dimana pengundi tidak diberikan kertas undi kerana nama telah dipotong.

“Ini mungkin disebabkan kad pengenalan mereka telah disalah guna atau mereka memohon undi pos dan telah diluluskan namun datang untuk mengundi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×