Konsert 20 tahun Inteam dalam norma baharu berlangsung meriah - Utusan Malaysia

Konsert 20 tahun Inteam dalam norma baharu berlangsung meriah

KUMPULAN Inteam dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd. Syahril Abd. Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMA tahun lalu, Inteam Records Sdn. Bhd. pernah menganjurkan Konsert Opick Live Akustik 2015.

Sambutan yang diterima agak luar biasa sehinggakan ramai peminat yang bertanyakan tiket konsert di saat-saat akhir sehinggakan Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika itu dipenuhi dengan kehadiran penonton daripada pelbagai lapisan umur.

Tidak keterlaluan untuk dipuji, kebanyakan acara berskala besar yang dianjurkan oleh kumpulan nasyid terkenal Inteam pastinya berjaya dan disebut-sebut peminat.

Tahun ini, sudah tiba masanya untuk Inteam menganjurkan konsert penghargaan untuk kumpulan mereka sendiri setelah 20 tahun mewarnai industri nasyid tanah air.

Konsert yang bertemakan ‘Terima Kasih’ itu menerima peruntukan RM300,000 sepenuhnya daripada Geran Dana Kandungan Digital (DKD) yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Zayan FM sebagai radio rasmi.

Walaupun penganjurannya terpaksa diadakan secara dalam talian, namun sambutan yang diterima begitu memberangsangkan kerana hampir 3,000 penonton menyaksikan konsert tersebut menerusi pautan secara langsung di YouTube Inteam Digital.

Malah, tiket konsert paling mahal berharga RM200 yang paling laris dibeli peminat kerana turut disertakan barangan lain seperti cakera padat digital yang mengandungi koleksi 129 lagu Inteam.

Meskipun konsert yang diadakan secara norma baharu itu, Inteam berjaya menjelmakan sebuah pentas dengan kilauan lampu spotlight dari Warisan Hall Studio, Telok Panglima Garang ke skrin penonton yang terasa dekat dengan setiap persembahan.

Konsert dimulakan dengan persembahan monolog mengenai Ukhuwah dan Pemergian Rasulullah oleh Ahmad Dinie Juri atau lebih dikenali sebagai Pak Dini yang pernah membintangi beberapa drama dan filem tempatan.

Konsert Ulang Tahun Inteam ke-20 berjaya membawa penonton menghayati tiga fasa utama persembahan dengan segmen pertama dendangan lagu-lagu cinta yang begitu sinonim dengan kemunculan penasyid yang merupakan bekas mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Lagu Kasih Kekasih, Impian Kasih dan Kasihku Abadi berjaya menyuntik memori percintaan penonton yang berlandaskan syariat Islam serta panduan menjadi pasangan yang dapat membahagiakan rumah tangga.

 

KEMUNCAK persembahan adalah lagu ‘Nur Kasih’ duet Inteam bersama Hijjaz.

 

SUNTIKAN UNIK INTEAM

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu turut diselang seli dengan tazkirah oleh pendakwah bebas, Syed Abdul Kadir Al-Joofre yang dirakam awal selain perkongsian pengalaman daripada kumpulan Inteam sepanjang bergelar anak seni.

Membuka tirai segmen kedua, Inteam mempersembahkan lagu-lagu Qasidah seperti Solatun Bissalamil Mubin dan berduet dengan pelapis kumpulan itu, Zayne yang terdiri daripada empat anak muda yang mula menempa nama dalam industri hiburan.

Menutup konsert dengan segmen terakhir, Inteam mempersembahkan lagu mengenai tokoh wanita Islam seperti Ratu Syahadah yang menceritakan kehidupan penuh ujian iaitu Asiah sebagai isteri Firaun, ibu susuan Nabi Muhammad SAW, Halimatus Saadiah dan isteri pertama Rasulullah, Siti Khadijah.

Penonton bukan sahaja disajikan dengan 20 lagu hits Inteam tetapi turut dihiburkan dengan persembahan artis jemputan.

Selain berkolaborasi dengan Hijjaz menerusi lagu Rasulullah, Inteam turut berduet dengan kumpulan Exist menerusi lagu Bunga, UNIC dan Fitri Haris lagu Rabiatul Adawiyah dan Khai Bahar, Setanggi Syurga.

Bagi mengembalikan kenangan semasa menyertai Gema Gegar Vaganza Musim ke-2 pada 2018, Inteam sekali lagi menampilkan duet bersama Lah Ahmad menerusi lagu Flying Without Wings nyanyian asal Westlife.

Inteam yang dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun, Mohd. Syahril Abd. Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman turut memperkenalkan single lagu baharu iaitu Terima Kasih yang menampilkan Ikhwan Fatanna sebagai rakan duet.

Menerusi lagu tersebut, Inteam menitipkan penghargaan buat barisan penasyid yang terlebih dahulu dijemput ilahi pulang ke negeri abadi antaranya vokalis kumpulan Rabbani, Allahyarham Mohd. Asri Ibrahim, Azahari Ahmad (Raihan) dan Salleh Ramli (Hijjaz).

Lagu tersebut juga didedikasikan khas buat seluruh barisan petugas hadapan yang tidak mengenal erti jerih payah dalam berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Lagu-lagu lain yang dipersembahkan antaranya Akrab Persahabatan, Dia Muhammad, Pemergianmu, Damba Kasih dan kemuncak persembahan lagu Nur Kasih duet bersama Hijjaz dan UNIC.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×