BARCELONA 1 Dis. – Dua pemimpin pemisah Catalonia yang kini ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan mereka selesai melancarkan mogok lapar sebagai tunjuk perasaan terhadap layanan yang diberikan oleh mahkamah Sepanyol.
Selepas Madrid mengambil kuasa autonomi terhadap wilayah tersebut tahun lalu, sembilan pemimpin Catalan diheret ke mahkamah atas pertuduhan melakukan pemberontakan, hasutan dan penyalahgunaan dana awam.
Kedua-dua tahanan itu, Jordi Sanchez dan Jordi Turull dalam satu kenyataan bersama memberitahu yang mereka sudah memulakan mogok lapar hari ini setelah rayuan mereka untuk mendapat keputusan yang adil sengaja dilambat-lambatkan oleh kerajaan Sepanyol.
“Kami tidak meminta sebarang layanan khas tetapi pada masa yang sama kami juga tidak akan menerima diskriminasi atau kelewatan yang tidak wajar,” katanya.
Mereka juga memberitahu yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap kerajaan Sepanyol untuk mendapat perbicaraan adil. -REUTERS











