JAKARTA 1 Dis. – Anak lelaki Presiden Joko Widodo atau Jokowi, Gibran Rakabuming Raka semalam menegaskan, dia tidak akan turun membantu kempen bapanya yang akan bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Presiden (Pilpres) 2019.
Perkara itu diajukan seorang pengguna Twitter menggunakan akaun @Sis18LIGHT kepada Gibran dan seorang lagi anak lelaki Jokowi, Kaesang Pangarep sama ada mereka akan berkempen untuk bapanya dalam pilihan raya Presiden kali ini.
Gibran sebagaimana lapor portal Detik.news secara ringkas dan jelas menjawab, tidak.
Jokowi akan mempertahankan jawatan Presiden Indonesia untuk penggal keduanya bergandingan dengan pasangan baharu, Ma’ruf Amin, tokoh ulama terkemuka Indonesia untuk pencalonan naib presiden.
Sementara itu, gabungan parti pembangkang menamakan Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto sebagai calon presiden dan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden,
Perlembagaan Indonesia kini menetapkan bahawa jawatan presiden atau wakil (naib) presiden hanya boleh dijawat maksimum dua penggal sahaja.











