Cemuhan bakar semangat Nazmi - Utusan Malaysia

Cemuhan bakar semangat Nazmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Kau ni…, orang cacat yang tak sedar diri.”

Itu antara ‘pesanan’ yang dihantar individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp kepada penghidap cerebral palsy, Nazmi Kamarulzaman, 35, yang merupakan seorang pelakon sambilan.

Semenjak menceburi bidang lakonan, Nazmi tidak terkecuali berdepan cemuhan daripada pihak yang barangkali iri hati atau tidak senang melihat seorang OKU menjadi pelakon.

Kutukan yang dilemparkan kepada anak kelahiran Kuala Lumpur itu bukan biasa-biasa, malah ada yang terlalu ‘tajam’ bak sebilah keris menggores perasaan, lebih-lebih lagi buat insan istimewa sepertinya.

Namun, semangat Nazmi kental menepis ‘mulut-mulut jahat’ itu. Malah, lebih kental berbanding sesetengah individu normal yang memiliki kesempurnaan dalam setiap aspek mental dan fizikal.

Pengalaman berdepan kata-kata nista dan cemuhan sejak kecil menjadi perisai kepadanya sepanjang berdepan tanggapan negatif segelintir pihak. Pendek kata, Nazmi sudah biasa.

Adakala dia membiarkan persepsi orang berlalu tanpa sedikit pun rasa peduli. Namun ada ketikanya, Nazmi merasakan dia perlu ‘bersuara’ untuk mendidik mereka.

“Mereka ingat kutukan-kutukan itu boleh mematahkan semangat saya, mereka silap.

“Terima kasih ya. Cercaan dan kata-kata negatif itu membakar semangat saya untuk mencipta nama hebat dalam dunia lakonan,” luahnya ketika ditemui S2 di Stadium Taman Tasik Titiwangsa.

“Dalam 10 orang yang ditemui, belum tentu semua suka kepada kita. Pasti ada satu atau dua yang membenci.”

Itu pegangan Nazmi yang bersyukur dan amat menghargai kehadiran orang-orang baik di sekelilingnya.

Katanya, orang yang bersikap positif memberi semangat kepadanya untuk terus mencari peluang dalam lakonan walaupun dalam keadaan sukar.

“Ada satu insiden di mana saya dipeluk seorang wanita berpangkat makcik yang tidak dikenali ketika bersiar-siar di luar.

“Sambil menangis, mak cik itu menyuarakan rasa kagum dengan semangat saya. Fikirnya, saya seorang yang normal dan hanya berlakon dengan membawa watak OKU,” ujarnya.

Nazmi menanam minat berlakon sejak di bangku sekolah lagi. Ternyata, penglibatannya sekarang bukan sekadar mengejar populariti, malah itulah cita-cita yang disimpannya sejak kecil.

Atas keizinan Allah S.W.T, rezeki dalam bidang lakonan sentiasa ada buat Nazmi. Dia pernah muncul dalam filem dan drama seperti KL Gangster 2, Bintang Hati Umi dan sehingga kini masih laris menerima tawaran.

Baginya, berlakon dianggap sebagai satu kepuasan yang hanya diperoleh dengan kegigihan dan kerja keras.

“Seperti pelakon lain, saya hadir uji bakat. Tidak kira apa juga watak yang diiklankan, saya tetap cuba.

“Rezeki Allah SWT datang dalam pelbagai cara. Adakalanya, kita merasakan sesuatu peluang itu tidak sesuai untuk diri kita, tetapi sebenarnya, itu adalah rezeki yang Allah SWT sudah tentukan,” ujarnya.

Keazaman diibaratkan api yang dimarakkan oleh minyak. Disoal siapa umpama minyak yang membakar azamnya, Nazmi menyebut, ibu.

Ibunya, Noraini Zainal Abidin adalah sumber motivasi kepada Nazmi untuk berdikari dan membuktikan keupayaannya.

“Ibu beri saya kebebasan untuk kejar cita-cita walaupun dia tahu keadaan saya.

“Ibu saya berbeza dengan sesetengah ibu kepada anak-anak OKU lain yang mengongkong tanpa sebab. Akhirnya mereka susahkan diri sendiri apabila anak-anak (OKU) tidak mampu berdikari.

“Walaupun hidup bebas, saya tidak pernah terjebak dengan kegiatan tidak bermoral. Ini kerana didikan agama yang ibu bekalkan kepada saya sejak kanak-kanak menjadi benteng untuk saya tidak melakukan perkara negatif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×