MENGHARGAI muzik dan meletakkan seni yang diminati pada tempat yang tertinggi bukan hal yang mudah. Apatah lagi untuk mempertahankannya bagi tempoh lebih 30 tahun.
Justeru, apabila seseorang itu mampu mengharung tempoh tiga dekad dengan tabah dan cemerlang, maka pencapaian itu melayakkan kita menobatkannya sebagai legenda.
Selama tempoh yang panjang itu, Datuk Hattan bekerja keras mempertahankan perjuangan seni menerusi apresiasi muzik yang dilakukan untuk memastikan keaslian lagu dan persembahannya.
Kehebatan Hattan dalam industri seni tidak boleh dipertikaikan. Jadi, apabila pemilik nama Mohd. Shukri Shahabudin itu ‘hilang’ dari radar seni tanah air, ramai yang tertanya-tanya tentang keberadaannya sekarang?
Peminat yang terlalu merindui kelibatnya di pentas persembahan pasti akan memutar kembali lagu-lagu beliau yang pernah popular seperti Memburu Rindu (1991), Gerhana (1994) dan Biso Bonar (1998).
Tidak kurang juga peminat tertanya-tanya, apakah Hattan mempunyai akaun Facebook atau Instagram, kalau paling tidak pun Twitter supaya mereka dapat mengetahui perkembangan terkini figura berusia 54 tahun itu.
Saat penulis bertemu dengannya baru-baru ini, Hattan merungkai segala persoalan yang diajukan kepadanya. Katanya, beliau lebih gemar bertemu dengan peminatnya sendiri dan bertentang mata dengan mereka.
“Sebenarnya, kekuatan artis adalah pada lagunya. Orang kenal saya, bukan pada karakter, sebaliknya lagu-lagu yang peminat suka.
“Kemudian dalam apresiasi seni pula, peminat kini bijak mencari artis-artis kegemaran mereka menerusi konsert atau ‘mini show’ seperti yang pernah berlangsung di Planet Hollywood dahulu.
“Mereka tahu, tidak ada video eksklusif daripada saya, sama ada saya menyanyi solo, di dalam studio atau yang dimuatnaik dalam media sosial.
“Sebabnya, saya menjaga eksklusif lagu. Lagu saya hanya untuk diperdengarkan kepada peminat. Jika mereka mahu dengar dan lihat, kami akan bertemu sama ada di konsert atau ‘mini show’. Sebab itulah, saya tiada Facebook, Instagram dan sebagainya,” katanya kepada S2.
Dalam pada itu, Hattan juga mengumumkan akan kembali bertemu peminat selepas lebih 12 tahun tidak beraksi di Kuala Lumpur seperti yang pernah dilakukannya dahulu.
Menurut pelantun lagu Mahligai Syahdu yang pernah popular pada 1992, beliau akan membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat pada 15 Disember ini di House of G Tower. Penganjur persembahan ialah 11 LA Entertainment.
“Saya sebenarnya sudah tekad untuk tidak lagi ‘perform’, tetapi kerana sahabat dan peminat yang berjaya memujuk, akhirnya saya putuskan untuk beraksi.
“Dah lama saya tidak membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur. Kali ini, peminat akan mendengar secara ‘live’ lagu-lagu hit yang pernah saya rakamkan.
“Selain lagu-lagu hit sendiri, saya juga akan menyanyikan lagu penyanyi lain yang saya suka seperti lagu dendangan Ramli Sarip dan M. Nasir,” ujarnya.
Perkembangan terbaharu itu bakal menyaksikan peminat Hattan berpeluang menikmati lebih 18 buah lagu yang akan dinyanyikan dalam sebuah ‘mini show’, bermula pukul 9 malam pada tarikh tersebut.
Lebih istimewa, persembahan beliau akan diiringi oleh ahli kumpulan Kristal seperti Rody (pemain gitar utama) dan Acap (pemain dram).
Jadi, jangan lepaskan peluang. Tiket masuk sudahpun mula dijual. Peminat boleh menempah tiket melalui aplikasi WhatsApp atau hubungi talian 012-5757971 atau layari Facebook/housegrp.











