Tindakan saat akhir Najib tidak bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Tindakan saat akhir Najib tidak bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov. – Tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan pada saat akhir untuk mencabar pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengendalikan kes pecah amanah dan salah guna kedudukan yang dihadapinya adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Sejak hari pertama lagi, mahkamah telah bertanyakan mengenai perkara ini tetapi tiada maklum balas diberikan pada ketika itu. Tindakan memfailkan permohonan ini pada peringkat ini boleh dianggap sudah terlewat dan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Kami akan memfailkan bantahan awal,” tegas Sulaiman.

Sepanjang Sulaiman menyuarakan rasa tidak puas hatinya sehingga selesai, peguam bela yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah cuma membisu dan hanya memberitahu pihaknya bersedia untuk berhujah pada bila-bila tarikh yang ditetapkan pada Disember ini.

“Bukankah sebelum ini, Tan Sri beritahu akan pergi bercuti,” soal Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali hari ini.

“Oh, itu sebelum pasport saya diambil oleh pihak mahkamah,” balas Muhammad Shafee disambut gelak ketawa mereka yang berada di mahkamah.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 18 Disember ini untuk mendengar permohonan itu serta bantahannya.

Pada tarikh sama, Hakim Mohd. Nazlan akan mendengar permohonan barisan pembelaan untuk mendapatkan beberapa dokumen tambahan seperti keterangan saksi-saksi kes itu yang telah direkodkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 8 Ogos lalu, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram yang dikaitkan dengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd., empat tahun lalu.

Selain tiga pertuduhan tersebut, Najib membuat pengakuan serupa terhadap tiga pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan satu pertuduhan pindaan bagi kes menyalahgunakan jawatan membabitkan jumlah dana yang sama daripada syarikat sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×