KUALA LUMPUR 26 Nov. – Pas hari ini menempelak saranan Datuk Mahfuz Omar dan meminta supaya Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yang membuat ‘kenduri pisang’.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa penganjur himpunan besar-besaran bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan menukar kaedah penganjuran program pada 8 Disember depan tetapi mengikut format yang dibincangkan.
“Dia buatlah, saya minta dia buat begitu. Himpunan ini kita yang buat, jadi ikut format kita. Saya fikir kalau dia dalam pembangkang pun dia akan sokong apa kita buat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Jelas Tuan Ibrahim, format itu ditukar kerana mensyukuri keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri menolak ICERD, Jumaat lalu.
Tegas beliau, himpunan tersebut tidak boleh dibatalkan kerana segala persiapan telah dibuat termasuk tempahan tempat penginapan dan pengangkutan.
“Keputusan kerajaan dah lewat untuk diumumkan, mereka sudah tempah bas dan hotel serta persiapan lain telah dibuat. Kalau batal, mereka akan rugi.
“Jadi kita fikir, kita tukar format, situasi menang-menang. Kerajaan tolak ICERD dan penganjur tidak kecewakan orang ramai. Saya fikir ini langkah terbaik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











