KUALA LUMPUR 26 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Khamis ini untuk pengurusan kes pengubahan wang haram dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.
Menurut peguam bela isteri bekas Perdana Menteri itu, Datuk Geethan Ram Vincent pengurusan tersebut adalah bagi permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Pada 4 Oktober lalu, Rosmah, 67, didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram
dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah lebih RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











