Ujian DNA dan molekul boleh kesan kanser dalam beberapa jam - Utusan Malaysia

Ujian DNA dan molekul boleh kesan kanser dalam beberapa jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 26 Nov.- Perkhidmatan terbaharu ujian patologi iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) dan molekul terhadap kanser boleh mengesan penyakit itu dalam tempoh beberapa jam berbanding kaedah sebelum ini yang mengambil masa beberapa hari.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu Bakar berkata,  pendekatan tersebut yang dimulakan secara perintis di negara ini menerusi kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) juga memberi peluang kepada doktor melakukan rawatan secara lebih berfokus.

“Sebaliknya ia akan meningkatkan kos keseluruhan rawatan kanser juga, tetapi melalui teknologi dan tawaran perubatan ini, peluang pesakit untuk sembuh akan menjadi cerah.

“Ini secara tidak langsung telah meningkatkan kualiti dan peluang kesembuhan daripada penyakit kanser,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Patologi Sedunia 2018 di Institut Kanser Negara (IKN) di sini hari ini.

Pada masa sama, Azman memaklumkan, kerajaan perlu melahirkan ramai lagi pakar patologi bagi menampung keperluan perkhidmatan diagnosis penyakit.

Katanya, buat masa ini negara mempunyai 350 pakar patologi di seluruh negara yang berperanan melakukan ujian saringan pesakit sebelum mereka mendapatkan rawatan lanjut.

“Sebanyak 70 penyakit dikesan daripada menerusi ujian patologi sekali gus ia menunjukkan perkhidmatan ini penting untuk melakukan rawatan dan pencegahan dengan segera.

“Ramai tidak menyedari ahli patologi merupakan seorang hero sebenar dalam rawatan penyakit, kerana mereka inilah yang mula-mula mengesan seseorang itu menghidap sesuatu penyakit sebelum menjalani rawatan pakar,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×