Beri lebih peluang wanita bertanding dalam pilihan raya - Utusan Malaysia

Beri lebih peluang wanita bertanding dalam pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Langkah memperbanyakkan lagi calon-calon wanita bertanding dalam pilihan raya penting demi memastikan sasaran 30 peratus wanita menjadi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, setiap presiden atau kepimpinan tertinggi parti politik sendiri perlu bersikap terbuka untuk memberi peluang kepada calon-calon wanita.

Malah lebih penting katanya, peluang bertanding itu harus diberikan di kawasan-kawasan Parlimen dan DUN yang berpotensi besar untuk menang.

“Ini disebabkan masalah gatekeeper (pembuat keputusan parti) yang tidak memberi kerusi Parlimen dan DUN kepada wanita yang mencukupi.

“Kalau hendak beri pun, jangan beri kerusi yang susah untuk menang,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Siti Zailah Mohd. Yusoff (Pas-Rantau Panjang) yang bertanyakan apakah permasalahan menyebabkan calon-calon wanita tidak menang dalam pilihan raya, sekali gus sasaran 30 peratus wanita sebagai Ahli Parlimen tidak kesampaian.

Tambah Yeoh, rekod terkini menunjukkan wanita sebagai Ahli Dewan Rakyat ialah seramai 32 orang daripada 222 orang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×