SHAH ALAM – Masalah banjir kilat yang sering berlaku sekitar Selangor berpunca daripada kekeliruan kawasan penyelenggaran sistem saliran dan jalan raya oleh beberapa agensi di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, kawasan penyelenggaran itu melibatkan tiga agensi iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Sebagai contohnya, longkang-longkang di kiri dan kanan jalan adalah di bawah tanggungjawab JKR, namun terdapat kekeliruan (penyelenggaran) apabila berlaku di kawasan PBT. Ini menyebabkan ada longkang akhirnya tidak diselenggara.
“Kita telah kenal pasti apakah langkah yang boleh diambil dengan menyediakan inventori di jabatan terlibat. Mesyuarat juga telah diadakan bagi memastikan semua infrastruktur di setiap daerah di bawah kendalian agensi mana dan diselenggara mengikut indeks penunjuk prestasi,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Dr Idris Ahmad (PKR-Ijok) mengenai tanggungjawab agensi yang sepatutnya menyelenggara sistem perparitan kerana banyak berlakunya banjir semasa musim hujan.
Izham turut menegaskan masalah banjir turut dipengaruhi oleh taburan hujan yang kadang-kala luar biasa banyak sehingga tidak mampu ditanggung oleh infrastruktur sedia ada.
“Hasil pemantauan mendapati lokasi tumpuan banjir dan banjir kilat sering berubah menyebabkan kerajaan negeri perlu memberi tumpuan khusus mengambil tindakan sewajarnya di kawasan yang kerap dilanda bencana itu terlebih dahulu ,” jelasnya.
Pada 12 November lalu, Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata kerajaan negeri sudah mengenalpasti 142 kawasan yang berpotensi mengalami masalah banjir kilat akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir Mac depan.
Ahmad Fairuz berkata dari jumlah kawasan itu juga, sebanyak 225 kejadian banjir kilat dijangka berlaku di kawasan terbabit sepanjang tempoh berkenaan dan antara daerah yang dijangka mengalami masalah banjir kilat yang banyak ialah sekitar Petaling, Sabak Bernam dan Hulu Langat. – K! ONLINE











