KUALA LUMPUR 26 Nov. – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang akan dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Menurut sumber, Ambrin akan hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 3 petang ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan laporan audit 1MDB yang disediakan Ambrin dipinda.
Laporan itu mendedahkan Najib mengetahui salah urus tadbir dalam 1MDB yang bersangkut paut dengan campur tangan beliau dari segi pengurusan kewangan 1MDB.
Perkara itu kemudiannya disahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mengenai laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Ahli Parlimen Pekan itu semalam.
Selain itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Rahim pula akan hadir ke SPRM pada pukul 2.30 petang ini untuk melengkapkan siasatan kes rasuah syarikat kontraktor. – UTUSAN ONLINE











