SUBANG JAYA 26 Nov. – Polis mengesahkan kejadian rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, awal pagi tadi tidak melibatkan isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, kejadian itu berpunca akibat pertikaman lidah antara dua kumpulan berhubung arahan memindahkan kuil tersebut yang dikeluarkan mahkamah sebelum ini.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.
“Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari.
Tambah Mazlan, pihaknya juga sudah menahan dua lelaki berusia lingkungan 30-an selepas dipercayai terlibat dalam rusuhan tersebut.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit ditahan di Hospital Serdang ketika menjalani rawatan akibat kecederaan dialami selepas rusuhan itu.
“Kita juga telah menempatkan sebanyak lebih 700 pegawai dan anggota termasuk dari pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk bersedia di kawasan kuil itu.
“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita minta semua pihak bertenang dan jangan timbulkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan, bagi kita siasat dulu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











