PORT DICKSON 26 Nov. – Sungai Pak Mail di Taman Desaru, Lukut dekat sini dicemari minyak hitam yang dipercayai mengalir dari sebuah kilang kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis, pencemaran itu dikesan oleh seorang penduduk yang bertindak menghubungi pihak bomba.
“Apabila tiba di lokasi pada pukul 7.44 pagi, kami dapati sungai sepanjang 100 meter telah dicemari minyak hitam dipercayai diesel,” katanya di sini hari ini.
Norazam berkata, pencemaran itu dipercayai akibat kebocoran injap dari kilang industri kecil dan sederhana berhampiran sungai.
Kata beliau, pihak bomba memasang alat penyerap bagi menyekat minyak itu daripada merebak.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri, Norhazni Mat Sari memaklumkan, pasukannya sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE











