PORT DICKSON – Sungai Pak Mail di Taman Desaru, Lukut dekat sini dicemari minyak hitam dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, pencemaran itu dikesan oleh seorang penduduk di situ.
“Dia menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan. Kami dapati aduan itu benar apabila tiba di lokasi pada pukul 7.44 pagi ini.
“Sungai sepanjang 100 meter dicemari minyak hitam dipercayai diesel,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Norazam berkata, pencemaran itu dipercayai akibat kebocoran injap dari kilang industri kecil dan sederhana (IKS) berhampiran.
Kata beliau, pihak bomba memasang alat penyerap bagi menyekat minyak itu daripada merebak lebih teruk.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari, memaklumkan pasukannya sedang melakukan siasatan di lokasi kejadian. – K! ONLINE










