KUALA LUMPUR 25 Nov. – Calon Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), Nik Nazmi Nik Ahmad kesal dengan sikap pihak yang sanggup melibatkan campur tangan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman menangguhkan Kongres pemilihan penggal 2018-2022, 18 November lalu.
Katanya, pihak berkenaan sepatutnya meletakkan kepentingan bola sepak Kuala Lumpur mengatasi segala-galanya terutama dalam membuat persediaan menghadapi Liga Malaysia musim 2019 yang melibatkan skuad senior, bawah 21 dan 19 tahun.
“Saya kesal apabila Kongres PBKL tergendala walaupun dalam status persatuan sudah jelas dan disebut dengan bahasa yang mudah mengenai syarat pencalonan jawatannya. Sayanglah apabila sudah jadi begini.
“Pasukan-pasukan lain sudah mulakan persiapan tetapi (penangguhan Kongres PBKL Ke-31) ini tidak adil kepada pasukan dan bola sepak Kuala Lumpur,” katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Bawah 16 Tahun Piala Nik Nazmi di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara, Setiawangsa di sini hari ini.
Turut dilancarkan ialah kelab Setiawangsa Rangers FC yang dipimpin Presidennya, Khushairi Aizad Jamalludin dan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat.
Nik Nazmi sebelum ini menyatakan mahu merebut kerusi Presiden PBKL namun mengubah fikiran minggu lalu selepas mengambil kira pandangan dan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk penyandangnya, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan.











