Nampaknya ada puak-puak yang tidak senang duduk,siang malam dok fikir pasal himpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini yang akan digerakkan oleh dua parti terbesar orang Melayu iaitu Pas dan UMNO. Pelbagai tuduhan mereka buat termasuklah ia bermotifkan politik, mencari publisiti murahan, hipokrit, boleh menghuru-hara negara dan menuduh ia bertujuan menghasut serta ada pelampau mengambil kesempatan memanipulasikan isu ICERD.
Soalnya kenapa kelam kabut sangat? Orang Melayu hanya akan berhimpun bagi menyatakan bantahan mereka. Walaupun kerajaan memutuskan tidak akan meratifikasikan ICERD tetapi ia bukanlah jaminan keputusan itu akan kekal. Selagi tidak dibawa ke Parlimen untuk dimuktamadkan pendirian tersebut, macam-macam boleh berlaku. Apatah lagi ‘taiko-taiko’ dalam Pakatan Harapan dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu.
Pada masa sama ada pemimpin pakatan menyifatkan keputusan kerajaan memalukan tetapi individu itu tidak pula berasa malu apabila janji-janji dalam manifesto tidak ditunaikan.
Pelik apabila kita memikirkan kenapa perhimpunan yang akan melibatkan penyertaan terbesar orang Melayu itu dipandang serong dan diberi gambaran seburuk-buruknya seolah-olah himpunan itu akan membawa bencana kepada negara.
Mereka juga berhujah kenapa perlu ia diadakan kerana kerajaan sudahpun menolak ICERD, tetapi apakah kelompok ini mempersoalkan kenapa himpunan Bersih diadakan sedangkan ketika itu Pakatan Harapan yang merupakan pembangkang sudah menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan menguasai Selangor dan Pulau Pinang
Kalau begitu keadaannya, apa asas yang mengatakan pilihan raya kita tidak bersih, tidak telus dan tidak adil sehingga boleh ‘menghalalkan’ himpunan Bersih? Tidakkah ketika itu kita boleh menganggap himpunan bersih bermotifkan politik?
Apapun hentikanlah hujah tidak cerdik apabila menganggap himpunan membantah ICERD pada 8 Disember ini cuba menghasut atau dilakukan oleh pelampau. Orang Melayu tidak akan menjadi penghasut atau pelampau tetapi yang selalu menghasut dan bertindak melampau tanpa menghiraukan perasaan orang Melayu ialah puak lain, siapa puak itu fikirlah sendiri.
Apa yang penting orang Melayu juga rakyat Malaysia, mereka juga berhak berhimpun dengan mematuhi Akta Perhimpunan Aman, janganlah bila orang lain mahu berhimpun itu hak demokrasi, bila orang Melayu berhimpun ia dianggap mahu menghasut dan melampau. Tidak payahlah takut tak bertempat kecuali ada puak yang bimbang kebangkitan orang Melayu dalam PRU-15 nanti.
Seperkara lagi, jika benar-benar ikhlas dan tidak mempunyai agenda tersembunyi, keputusan tidak meratifikasikan ICERD yang diumumkan oleh kerajaan perlu dibawa ke Parlimen untuk direkodkan secara rasmi. Janganlah keputusan yang dibuat semata-mata mahu mengelak atau ‘memperdaya’ orang Melayu supaya tidak turun berhimpun pada 8 Disember ini.
Kerajaan tidak perlu bimbang apa-apa kerana bukankah Kabinet sudah membuat keputusan, ertinya dalam kalangan ahli Parlimen Pakatan Harapan termasuk DAP tidak akan keberatan menyokongnya. Betul tak?











