Masih ada penjawat awam sabotaj kerajaan - Utusan Malaysia

Masih ada penjawat awam sabotaj kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI 25 Nov. – Pembersihan jentera Kerajaan Persekutuan perlu terus dilaksanakan memandangkan budaya mensabotaj dasar kerajaan masih wujud dalam kalangan penjawat awam.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun jumlah mereka yang terbabit semakin berkurangan, namun pihaknya sering mengingatkan penjawat awam terutama pegawai kanannya tentang perkara itu agar usaha pembersihan dapat dilakukan sepenuhnya.

“Masih ada pegawai yang tidak komited misalnya ada berlaku kakitangan empat bulan tidak dibayar gaji sedangkan ia boleh dilakukan, saya tidak faham kenapa?

“Ini kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam sesi soal jawab di Majlis Perjum­paan Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini semalam.

Berucap dalam majlis itu, Dr. Mahathir bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa ‘pembersihan’ dalam kerajaan itu akan berjaya dilakukan sepenuhnya sekali gus dapat mengembalikan status negara sebagai Harimau Asia.

Perdana Menteri berkata, pembersihan jentera kerajaan juga dilakukan untuk membebaskan penjawat awam daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sepenuhnya demi memulihkan keyakinan rakyat kepada golongan itu.

“Untuk kembali menjadi pemerintah yang mampu tadbir negara dan kayakan negara, maka mereka yang terlibat de­ngan kegiatan salah perlu dike­tepikan.

“Perlu tindakan diambil kera­na kesalahan yang dilakukan oleh mereka lantas ramai daripada mereka akan tersingkir dan digantikan oleh pegawai lebih rendah. Kalau kita kekalkan pegawai terdahulu yang rasuah dan seleweng tidak dapatlah kita susun reformasi.

“Dalam masa enam bulan kita dapat pulih negara dengan baik dan tadbir dengan jentera yang sudah dibersihkan,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, jentera kerajaan mesti tersusun, rapi, cekap dan mengutamakan khidmat kepada negara bukan untuk diri sendiri.

“Kita bersihkan bukan setakat pentadbir tetapi yang dipilih oleh rakyat iaitu ahli politik juga. Mereka terpaksa menghadapi pembersihan misalnya kalau ahli politik diberi jawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan sedangkan mereka tidak ada kepakaran, maka banyak kesalahan dilakukan.

“Sekarang kita tentukan jawatan dalam kerajaan dan institusi bukan daripada ahli politik, tetapi mereka yang cekap, terlatih dan profesional,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×