BAGAN SERAI 25 Nov. – Seorang suri rumah yang kudung kaki kiri kerana penyakit diabetes baru-baru ini merayu sumbangan orang ramai dan pihak berkenaan untuk mendapatkan kerusi roda.
Faridah Khairudin, 49, dari Kampung PPMS Batu Enam Beriah, Bukti Merah di sini berkata, kakinya terpaksa dipotong awal bulan lalu dan sejak itu hidupnya berubah kerana tidak mampu lagi bergerak seperti biasa.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan pergerakannya melakukan kerja rumah selain menjaga anaknya, Ikmal Ikhwan yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dan masih bersekolah serta seorang anak lelaki berusia setahun.
“Keadaan ini menyebabkan saya tidak dapat membantu suami yang mencari rezeki dengan mengait buah kelapa sawit dan hidup kami semakin susah ibarat kais pagi, makan kais petang makan petang,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, dia mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan namun untuk membeli kerusi roda masih tidak mampu lagi.
Katanya, dia memerlukan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak dan menguruskan diri sendiri terutama untuk mandi.
“Kerana keadaan saya yang tidak dapat bergerak, saya terpaksa memakai lampin pakai buang dan ini sudah tentu membebankan. Saya berharap ada pihak sudi menghulurkan sumbangan kerusi roda bagi memudahkan saya bergerak,” katanya.
Menurut Faridah, suaminya terpaksa melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan keluarga dan keadaan sekeluarga semakin teruk berikutan harga kelapa sawit yang semakin rendah.











