ISKANDAR PUTERI 25 Nov. – Sembilan lelaki yang disyaki memiliki ketum antara 105 individu ditahan pihak berkuasa dalam Op Khas Bersepadu Wilayah Iskandar yang dijalankan sekitar Iskandar Puteri, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kesemua tujuh suspek tersebut menetap di rumah sewa yang sama.
Pihaknya telah memeriksa seramai 313 individu dalam operasi itu yang melibatkan 238 lelaki dan 75 wanita.
“Operasi itu dijalankan bermula pukul 6 petang kelmarin hingga pukul 2.30 pagi semalam melibatkan beberapa premis, antaranya restoran 24 jam, pusat hiburan dan rumah kongsi di sekitar Iskandar Puteri.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 50-an atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1969, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini.
Dzulkhairi berkata, antara 105 suspek yang ditahan, seramai 72 daripadanya merupakan warga asing dari pelbagai negara, antara Indonesia, Thailand, Mongolia, Vietnam dan Myanmar.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang negara ini diperkasakan,” katanya sambil memberitahu operasi tersebut melibatkan 14 pegawai dan 208 anggota daripada IPD Iskandar Puteri, Pasukan Polis Marin, Jabatan Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).











