KUALA LUMPUR 25 Nov. – Beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean merangkul kejuaraan terbesar dalam karier mereka apabila menjuarai Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India hari ini.
Selepas mengejutkan pilihan kedua, Della Destiara Haris-Rizki Amelia Pradipta dari Indonesia semalam, beregu No. 19 dunia itu menundukkan pemain harapan tuan rumah, Ashwini Ponnappa-N. Sikki Reddy 21-15, 21-13 dalam final.
Ini adalah kejuaraan pertama buat pasangan muda negara itu dalam Jelajah Dunia selepas muncul naib juara Terbuka Rusia, Julai lalu.
“Kami benar-benar mahu membuktikan keupayaan dengan merangkul kejuaraan.
“Kami bermain dengan motivasi tinggi kerana ini adalah kejohanan terakhir kami pada 2018 dan kami mahu menutup tahun ini dengan bergaya,” kata Meng Yean. – UTUSAN ONLINE











