PORT DICKSON – Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mempertimbangkan permintaan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berstatus kontrak supaya mereka diserap sebagai kakitangan tetap.
Timbalan Menterinya, R. Sivarasa berkata, beliau akan berbincang tentang perkara itu dengan
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun.
“Saya dengar ramai masih kerja secara kontrak dan ada rintihan mereka patut diiktiraf sebagai kakitangan tetap.
“Saya akan bincang dengan menteri dan kita akan bawa kepada pihak atasan untuk dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan 2018 di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson di sini malam ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar sebelum ini memberi jaminan iaitu kesemua 17,539 kakitangan kontrak dan tetap yang berkhidmat untuk jabatan itu akan dikekalkan.
Ketika ini, kira-kira 10,000 daripada keseluruhan jumlah tersebut merupakan kakitangan Kemas berstatus kontrak.
Dalam pada itu, Sivarasa berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu melakukan perubahan bagi memastikan semua kakitangan Kemas dapat memberi tumpuan kepada tugas hakiki mereka dan bukannya urusan politik. – K! ONLINE










