KUALA LUMPUR 24 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli-ahli parti supaya tidak bimbang mengenai kerjasama dengan Pas.
Demi menghadapi pelbagai cabaran politik semasa, Ahmad Zahid berkata, kedua-dua parti perlu bekerjasama dalam isu tertentu melibatkan kepentingan bersama.
“Kalau kerjasama dengan Pas, Pas teman sejati baharu kita. Kita harus akui hakikat, kita perlu bekerjasama dengan mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan yang sanggup bekerjasama dengan kita.
“Jangan komen macam-macam. Kita bukan mahu pakatan, kita bukan mahu tahaluf siasi setakat ini.
“Kita dalam gagasan pembangkang, kita bekerjasama atas isu, atas perkara-perkara untuk kepentingan bersama. Ini disebut banyak kali,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini ketika berucap dalam majlis Lawatan Presiden Bersama Timbalan Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ke Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, tidak ada kesalahan bagi UMNO untuk bekerjasama dengan menyatakan dalam dunia politik, tiada rakan atau musuh yang tetap. – UTUSAN ONLINE










