BALING 24 Nov. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa, penyatuan rakyat menjadi punca mengapa kerajaan akur untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) seperti diumumkan baru-baru ini.
Tegasnya, kesatuan itu ditunjukkan menerusi komitmen dan sokongan padu rakyat yang mahu menyertai himpunan membantah ICERD pada 8 Disember depan.
“Alhamdulillah, apabila kita bersuara mengenai perkara ini, ramai yang mahu berarak dan membantah.
“Apabila dengar ramai yang hendak pergi, kerajaan pun keluar kenyataan tak akan ratifikasi. Tetapi kita akan berhimpun juga bagi menyatakan kesyukuran kepada Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam kunjungannya ke Tapak Pembinaan Kompleks Pas Baling di Kampung Teluk Durian di sini, hari ini.
Semalam Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial seperti dipersetujui wakil semua kaum sebelum ini.
Susulan itu beberapa pihak termasuk Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tiada keperluan untuk mana-mana pihak meneruskan himpunan tersebut.
Mengulas lanjut Hadi berkata, ICERD merupakan satu agenda pihak tertentu yang dibawa ke negara ini dengan tujuan memberi hak sama rata kepada semua.
“Orang Melayu yang lemah ini, sudahlah lemah, mahu pula diberi hak sama rata.
“Maka kita akan ketinggalan lagi. Ini agenda yang mahu mereka bawa,” katanya. – UTUSAN ONLINE










