KUALA LUMPUR 24 Nov. – Kira-kira 60 orang daripada empat buah kampung di Beranang, Selangor terjejas ekoran banjir kilat akibat hujan lebat sejak pukul 3 pagi semalam.
Setiausaha Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Hamdan Abu berkata, kampung tersebut ialah Kampung Jalan Besar Beranang, Kampung Sungai Jai, Kampung Sesapan Batu Rembau dan Kampung Sesapan Minangkabau.
Katanya, nisbah taburan hujan yang tinggi termasuk sebahagian daripada kawasan Negeri Sembilan telah menyebabkan arus Sungai Beranang melimpah.
“Aliran sungai yang tersekat akibat lambakan kayu di dasar sungai juga menyumbang kepada banjir kilat separas kira-kira satu meter hingga menjejaskan kawasan perumahan penduduk kampung.
“Paras air mulai surut setakat pukul 2.30 petang tadi dan bantuan daripada pihak berkuasa juga diterima.
“Seramai 16 orang telah dipindahkan ke Balai Raya Kampung Sesapan Batu Rembau tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










