BATU PAHAT – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dataran Penggaram, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah kira-kira pukul 3.00 petang disambut kira-kira 10,000 rakyat Johor yang membanjiri dataran berkenaan.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris; Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Pada majlis itu, baginda berkenan melihat 26 kek yang dipersembahkan kepadanya oleh agensi-agensi kerajaan dan hotel terkemuka di negeri ini, sebelum memotong salah satu daripadanya.
Selain itu, baginda sempat melancarkan tiga buah buku terbitan UTM Press iaitu Sultan Ibrahim of Johor: Road To Royal Coronation, JDT An Abode To Dignity dan Syair DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Majlis juga diwarnai dengan persembahan dari Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan nyanyian dari tiga artis terkenal iaitu Amy Search, Syamel dan Ernie Zakri.
Orang ramai yang merangkumi pelbagai kaum kemudian dihidangkan dengan pelbagai juadah. – Bernama










