KUALA LUMPUR 24 Nov. – Seorang wanita yang diburu bagi membantu siasatan kes dera dua bayi lelaki di sebuah taska di Desa Saujana Kajang, dekat sini semalam telah ditahan di Kapar, Klang hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, wanita berusia 31 tahun yang bekerja sebagai pengasuh taska ditahan pada pukul 5.45 petang tadi.
“Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut kes penderaan dua bayi lelaki di sebuah taska di Desa Saujana Kajang yang dilaporkan semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan dua bayi lelaki berusia lima dan tujuh bulan mengalami muntah selain kesan lebam di badan disyaki akibat didera oleh seorang pengasuh wanita di taska berkenaan.
Kejadian itu terbongkar apabila ibu bapa kedua-dua bayi tersebut meminta untuk memeriksa kamera litar tertutup dan mendapati seorang pengasuh telah menghempas dan menggoncang seorang daripada bayi tersebut.
Pemeriksaan terhadap bayi pertama mendapati ada kesan lebam di bahagian dada dan kesan disyaki akibat kuku jari lebih kurang satu sentimeter manakala seorang lagi bayi mempunyai kesan lebam di leher.-UTUSAN ONLINE










