Anwar jawab beberapa soalan panas - Utusan Malaysia

Anwar jawab beberapa soalan panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 24 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau mempunyai hubungan akrab dengan Presiden Turki, Reccip Tayyib Erdogan.

Bagaimanapun, bakal Perdana Menteri Kelapan itu menegaskan, beliau bersikap profesional dan tidak boleh bersetuju dengan semua polisi pentadbiran yang diamalkan Erdogan.

Katanya, beliau menyedari kritikan yang diterima rakannya itu terutama daripada kumpulan penjuang hak asasi manusia di seluruh dunia kerana memenjarakan ribuan penduduk yang dianggap liberal termasuk pelajar.

“Apabila Erdogan bertemu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam persidangan antarabangsa yang dihadiri mereka, beliau sering bertanya mengapa memenjarakan saya. Saya hargai beliau (Erdogan) sebagai sahabat yang sering memberikan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli forum dalam Festival Kesusasteraan Georgetown, di sini petang ini.

Pada masa sama, ketika menjawab soalan moderator, Bernice Chauly sama ada Anwar akan ‘meninggalkan’ golongan liberal termasuk Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) selepas menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata;

” Saya menghargai semua sokongan dan tidak wajar untuk kita mendefinasikan seseorang itu berdasarkan kecendurangan seksualiti mereka.

“Bagaimanapun, perlu faham tidak semua perkara saya perlu suarakan kerana kita hidup dalam masyarakat pelbagai agama dan saling menghormati.”

Sementara itu, Anwar berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu diberikan ruang sekiranya ingin membentangkan Rang Undang-Undang berkaitan hudud di Parlimen kerana hak berkenaan dijamin.

“Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab kita (kerajaan) untuk menolaknya,” katanya.

Ditanya tentang ‘hubungan’ beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ini, Anwar berkata,  beliau percaya bekas bosnya itu tetap komited melaksanakan agenda reformasi untuk manfaat negara dan mereka berkomunikasi.

“Antara yang dipersetujui ialah negara kita masih belum ada sel tahanan khas untuk kumpulan pengganas.

“Kita mungkin boleh mula bertindak daripada sekarang dan tidak menunggu sehingga keadaan jadi teruk baru hendak wujudkan sel berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN